KUCHING: Seorang operator kilang dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM3,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencabul seorang wanita berusia 26 tahun.

Tertuduh Erwan, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan terkutuk itu di atas tangga dalam sebuah bangunan syarikat kejuruteraan di Jalan Matang, kira-kira jam 4.50 petang, 16 Februari lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak