KUCHING: Pembantu dapur restoran dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana merakam gambar rakan perempuannya yang sedang mandi di sebuah asrama pekerja di Jalan Tun Jugah, 12 Febuari lepas.

Tertuduh Simon, 31, berasal dari Kampung Ma’ang, Serian mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana telah mengaibkan kehormatan remaja perempuan berusia 19 tahun itu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, rakan mangsa menyedari seorang lelaki yang dikenali telah merakamnya ketika sedang mandi menggunakan kamera yang telah diubah suai dan disambungkan ke telefon bimbit.

Rakan mangsa kemudian merakam aksi tertuduh untuk dijadikan bukti.

Mangsa dan rakannya kemudian memaklumkan kepada majikan mereka, yang seterusnya menangkap lelaki terbabit serta dibawa ke balai polis berdekatan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah berada dan mengintai mangsa dari tingkap bilik mandi.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar mahkamah menggenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak