KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau empat bulan penjara atas dua pertuduhan merosakkan cermin pintu kedai dan mengugut bunuh isteri pemilik kedai pada Oktober tahun lalu.

Beng Chiang, 57, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bunuh mangsa bernama Pei Yen, 37.

Manakala, pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana merosakkan harta milik Foo Khen, 39, iaitu sebuah cermin pintu hingga menyebabkan kerugian RM1,000.

Menurut fakta kes, tertuduh yang tidak bekerja sudah lama tidak membayar sewa bilik milik pengadu dan bertindak sedemikian kerana pengadu enggan menyewakan lagi bilik berkenaan.

Tertuduh yang dalam keadaan marah mengambil sebilah pisau di dalam beg lalu ingin menikam isteri pengadu.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak