Padah ugut bunuh isteri

KUCHING: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap isterinya.

Tertuduh Razz Rozz Fazzaliman Abdul Rahman, 29, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap isterinya yang berusia 28 tahun di kediaman mereka di Jalan Matang, sekitar jam 3.00 petang, 25 Januari lalu.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh diberikan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan, namun tertuduh memohon agar ikat jamin dapat dikurangkan atas faktor kurang berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin tempatan, dan menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 3 Mac depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak