Ibrahim Baki meninjau projek rakyat membina saluran paip baharu di Kampung Kudei Lama dan Kampung Kudei Baru, hari ini.

KUCHING: Penduduk di Kampung Kudei Lama dan Kampung Kudei Baru kini boleh menarik nafas lega apabila masalah tekanan air rendah yang mereka hadapi bakal berakhir tidak lama lagi.

Masalah tekanan air rendah yang dihadapi 250 rumah di kampung tersebut bakal selesai setelah projek rakyat membina saluran paip baharu siap pada Julai depan.

Adun Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, saluran paip baharu sepanjang tiga kilometer (km) yang menelan kos RM1.8 juta itu dibina bagi menggantikan saluran paip lama yang menyebabkan kira-kira 1,300 penduduk di kawasan tersebut mengalami masalah tersebut.

“Kerja-kerja projek bermula pada hari ini kerana bahan-bahan semua sudah ada dan kita menyasarkan ia siap pada Julai tahun ini.

“Kita juga berharap penduduk di kampung bersabar dan memberi kerjasama untuk melancarkan projek rakyat ini,” katanya selepas meninjau projek rakyat itu di Kampung Kudei Baru di sini, hari ini.

Projek itu merupakan sebahagian daripada projek rakyat iaitu cadangan kerja-kerja naik taraf kemudahan infrastruktur sedia ada dan penambahbaikan bagi Kampung Kudei Lama, Kampung Kudei Baru, Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup di sini.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Setiausaha Cawangan Satok, Abdul Samad Gany.

Suara Sarawak