PADAWAN: Kerusi Parlimen Puncak Borneo merupakan milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan tiada kompromi mengenai dalam hal tersebut, kata Datuk Dr Jerip Susil.

Adun Mambong itu berkata, ia merupakan prinsipal yang telah dipersetujui dalam kalangan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ia kerana kerusi tersebut adalah kerusi PBB dan ia sentiasa menjadi kerusi PBB.

“Tiada kompromi dan ia bergantung kepada rundingan parti dari Semenanjung Malaysia dan parti di sini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan projek transformasi luar bandar (RTP) di Dewan Serbaguna Kampung Petag, di sini hari ini.

Gambar fail

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sekiranya calon komponen parti GPS akan bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Jerip juga Menteri Muda Pengangkutan berkata, GPS melihat kerusi Parlimen Puncak Borneo yang terdiri daripada DUN Mambong, Serembut dan Tarat adalah milik parti gabungan tersebut.

Beliau dalam pada itu enggan mengulas lanjut ketika ditanya sekiranya penyandang kerusi itu (Datuk Willie Mongin) menyertai GPS pada PRU-15.

Willie memenangi kerusi tersebut pada PRU yang lalu bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Genot Sinel yang meraih 14,860 undi serta calon Aspirasi, Buln Ribos yang mendapat 795 undi.

Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi meninggalkan PKR pada Februari 2020 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Mac 2020.

Suara Sarawak