KUCHING: Pasukan Sukan Touch Sarawak kembali memfokuskan kepada pembentukan pasukan sebagai persiapan menghadapi Liga Sukan Touch Kebangsaan (NTL) 2022 yang berlangsung di Ekuestrian Park, Putrajaya pada 26 hingga 27 Februari ini.

Presiden Persatuan Sukan Touch Sarawak (STA), Hafisz Rachman Drahman memberitahu, sesi latihan akan bermula esok.

PRESIDEN STA…Hafisz Rachman Drahman.

“Pemain akan kembali menyambung latihan mereka esok sebagai persiapan untuk menghadapi NTL 2022 yang dijadual berlangsung bulan ini,” ujar Hafisz kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, persiapan pembentukan pasukan untuk kejohanan itu sedikit tergendala ekoran pandemik Covid-19.

Apa pun tegas beliau, pihaknya tidak mahu perkara tersebut sebagai hambatan untuk cuba membentuk satu pasukan yang mantap.

Sebaliknya, akan cuba memanfaat masa yang ada dengan sebaik mungkin.

“Fokus kita ketika ini cuba memperkemaskan jentera dari segenap posisi yang ada,” tambah beliau lagi.

Seperti mana dimaklumkan beberapa kategori dipertandingkan untuk NTL 2022.

Antaranya, terbuka lelaki dan wanita (30 tahun), terbuka lelaki dan wanita (40 tahun), campuran dan lelaki 50 tahun.

Bagaimanapun, Sarawak hanya akan bertanding dalam kategori campuran sahaja.

Suara Sarawak