Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.

KUCHING: Lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah pada Januari lalu.

Tertuduh Vito, 18, dari Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, pada 31 Januari lepas, sekitar jam 10.30 malam di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Song, pihak berkuasa berjaya menangkap tertuduh yang dipercayai memasuki negara tanpa permit yang sah.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda Maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan tidak melebihi enam sebatan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuching telah membuat pemeriksaan sebuah bilik di bangunan pangsapuri mewah di Jalan Song sekitar jam 10.30 malam, 31 Januari lepas.

Hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut, pihak polis berjaya menangkap tertuduh yang merupakan warga Indonesia gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah masuk ke Kuching, Sarawak.

Semakan di Jabatan Imigresen Malaysia juga mendapati tiada maklumat pergerakan keluar masuk tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak