Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (duduk ditengah) bergambar bersama tetamu kehormat lain.

KUCHING: Pelan Strategik 2022 yang diperkenalkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dilihat sebagai langkah tepat untuk memperkasa pembangunan sukan di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian Sarawak amat hebat dan membanggakan dalam dunia sukan negara.

Lantaran katanya, perlu ada pendekatan terbaik bagi mengekalkan kelebihan tersebut.

“Sejajar dengan misi dan visi menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini, pihak kementeriannya akan sentiasa memfokuskan pembudayaan aktiviti sukan sebagai aktiviti harian masyarakat,” katanya ketika berucap pada Sesi Pembentangan Pelan Strategik MYSED di sini, hari ini.

Tambah Karim, memperkukuhkan kesihatan fizikal, sosial dan mental juga antara strategi holistik kementeriannya melalui Program Sarawak X-Tive.

“Aspirasi lain yang bertujuan melahirkan atlet bertaraf antarabangsa,” ujarnya lagi.

Beliau akui Pelan Strategik MYSED yang diketengahkan itu amat penting kerana secara tidak langsung ia dapat menjadi penanda aras dalam menyedia rangka kerja holistik.

Dengan kata lain dapat menyediakan pasukan berprestasi tinggi di kementeriannya dengan kakitangan yang berintergriti, berkualiti dan kompeten.

Beliau mengambil contoh transformasi pembangunan sukan yang jauh berubah ketika ini dibawah dua badan induk- Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

“Bukan sahaja program pembangunan sukan yang diberi fokus oleh dua badan induk ini malah, ia turut mencakupi persediaan pasukan untuk menghadapi pelbagai kejohanan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA),” tambah beliau.

Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak