KOTA SAMARAHAN: Sejumlah 84 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) di Unimas telah ditauliahkan sebagai Pegawai Kor SUKSIS Unimas setelah berjaya menjalani latihan asas sukarelawan simpanan polis siswa/siswi (kor SUKSIS) selama tiga tahun.

Majlis penyampaian pelantikan Pegawai Kor Suksis Unimas telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Mancha Ata, bertempat di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA Unimas, hari ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, pelatih ini mempunyai peluang kerjaya yang cerah bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata (tengah) bergambar bersama 84 Pegawai Kor SUKSIS Unimas, di sini, pagi tadi.

Katanya, pengalaman pelatih ini dalam menjalani latihan selama tiga tahun dalam kor suksis akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temuduga bagi pengambilan anggota polis.

“Saya percaya latihan dan dedahan kepada peruntukan disiplin diri serta penguatkuasaan undang undang yang dipelajari selama ini menjadikan pegawai kor suksis ini antara calon terbaik bagi menyertai PDRM,” katanya dalam ucapannya pada majlis berkenaan.

Menjelas lanjut ujarnya, Kor Suksis Unimas ditubuhkan pada 22 Jun 2006 dan seramai 595 orang pelatih telah berjaya menamatkan latihan semenjak ia ditubuhkan.

Katanya daripada jumlah tersebut, seramai 73 orang telah berjaya menyertai perkhidmatan PDRM.

Suara Sarawak