KUCHING: Sarawak Energy Berhad telah mencapai satu pencapaian yang membanggakan apabila direkodkan sebagai pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Sharbini Suhaili berkata, Sarawak Energy telah beralih secara konsisten daripada penjanaan tenaga berasasakan fosil kepada kuasa hidro pada hari ini.

“Dengan bimbingan daripada Kerajaan Negeri, Sarawak kini  berada di hadapan daripada keluk pembangunan tenaga mampan, beralih daripada campuran penjanaan 100 peratus bahan api fosil yang bermula pada tahun 1920-an hingga tahun 2010.

“Dan hari ini, Sarawak telah mula beralih kepada kuasa hidro boleh diperbaharui,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sarawak Energy Centenary Townhall bagi menandakan 100 Tahun Penjanaan Kuasa yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Isnin.

Jelas Sharbini, SEB hampir mencapai sasarannya untuk mencapai elektrik penuh menjelang 2025. “Daripada pangkalan data SEB, hanya 84 pelanggan pelanggan kami di zon selatan Sarawak pada tahun 1920-an. Kini, kami menyediakan bekalan elektrik kepada lebih 740,000 akaun sekali gus menyediakan elektrik kepada hampir 3 juta penduduk di Sarawak, dengan penduduk yang ada di Indonesia.

“Bukan itu sahaja, kadar elektrik bagi luar bandar juga mengalami peningkatan iaitu daripada 56 peratus pada 2009 kepada 96.5 peratus pada 2021,” ujarnya.

Tambahnya, ia selaras dengan matlamat ketujuh bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu akses kepada tenaga yang mampu milik, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa Sarawak Energy juga secara konsisten mendahului keluk dengan peralihan tenaga global sekali gus menjadikan kemampanan sebagai tonggak utama dalam kemajuan SEB.

Beliau juga menyatakan bahawa SEB juga akan terus menyokong Agenda Tenaga Hijau Sarawak melalui usaha peralihan tenaga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak untuk status berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sehubungan itu katanya, rancangan masa depan dan kejayaan masa lalu SEB hanya boleh direalisasikan dengan sokongan kerajaan, pemilik dan pihak berkepentingan serta dedikasi dan komitmen kakitangan SEB.

“Ini akan terus memacu kami lebih dekat ke arah merealisasikan aspirasi untuk menjadi kuasa besar serantau dan utiliti tenaga terkemuka di Asia Tenggara sekali gus menyelesaikan misi untuk menerangi Sarawak sepenuhnya,” jelasnya.

Suara Sarawak