KUCHING: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti syarikat CELCOM, DIGI, MAXIS dan U-Mobile digesa melabur dan meluaskan liputan mereka ke kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berucap pada Majlis Perasmian Seminar Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat ke-61 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak. (Foto: Ramidi Subari)

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, pembekal perkhidmatan tidak perlu bimbang untuk datang ke kawasan luar bandar memandangkan pihak kerajaan telah menyediakan banyak menara telekomunikasi bagi memudahkan mereka.

“Setakat ini, perhatian dan tumpuan mereka (pembekal perkhidmatan) hanya di kawasan bandar, apa salahnya mereka turut melabur di luar bandar?” soalnya.

Justeru katanya, rakan-rakan beliau di kementerian akan berusaha untuk membolehkan penduduk di seluruh pelosok Sarawak mendapat liputan internet menjadi realiti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat ke-61 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Jelas Julaihi, baru-baru ini beliau telah mengadakan satu perbincangan khas dengan semua agensi berkaitan dan pembekal perkhidmatan seperti Celcom, Digi dan Umobile untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyediakan kemudahan liputan internet, Wifi dan sebagainya ke seluruh Sarawak.

“Hal ini kerana, kita menyasarkan Sarawak akan diliputi internet sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya.

Suara Sarawak