Pembonceng maut, penunggang parah kemalangan kendiri di Mukah

Keadaan di lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku di Jalan Bukit Balingian Mukah pada malam ahad.

MUKAH: Seorang pembonceng maut selepas motosikal yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan dan merempuh tiang tanda amaran, di Jalan Bukit Balingian, semalam.

Insiden tersebut mengakibatkan mangsa yang berusia 63 tahun cedera parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.

Manakala, penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Klinik Selangau, seterusnya dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menggunakan motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan dari Rumah Tangkun, Jalan Lubuk Bukut menghala ke Jalan Mukah- Selangau.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di simpang Balingian Power Generation, motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan kemudiannya terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang tanda amaran.

“Kejadian ini dipercayai berlaku kira-kira jam 7.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak