KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju untuk memansuhkan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk mulai hari ini.

Menurutnya, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu masuk premis masing-masing sebaliknya hanya “check in” menggunakan aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun katanya, JPBN amat menggalakkan pemilik-pemilik premis sekiranya ingin meneruskan pelaksanaan pemeriksaan suhu dan penggunaan buku rekod daftar masuk di premis masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, JPBN melaporkan kadar jangkitan Covid-19 Sarawak menunjukkan sedikit penurunan apabila 214 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 226 kes semalam.

JPBN berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 146 kes merupakan kategori 1, 65 kes dalam kategori 2, dua kes melibatkan kategori 3 manakala satu kes dalam kategori 5.

“Daerah Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 105 kes, diikuti Miri (42), Sibu (33), Bintulu (9), Kapit (8), Kanowit (4), Song (2) dan Pusa (2).

“Manakala masing-masing satu kes di Daerah Samarahan, Sarikei, Serian, Sri Aman, Julau, Tanjung Manis, Meradong, Subis dan Asajaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah JPBN, tiada kes kematian dilaporkan manakala satu kes kluster yang masih aktif.

Suara Sarawak