KUCHING: Memulihkan satu pertiga perwakilan Parlimen antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah satu permulaan yang baik, kata Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

“Saya gembira kerana kini seseorang dalam kerajaan bercakap tentang perkara ini.

“Selama bertahun-tahun, saya telah membuat banyak kenyataan umum dan bercakap di Dewan Undangan Negeri mengenai perkara ini dan begitu juga ramai lagi pemimpin pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BARU BIAN

Beliau mengulas mengenai penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa Sarawak akan terus berjuang untuk satu pertiga daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi di Parlimen diperuntukkan kepada negeri-negeri Borneo (Sarawak dan Sabah).

Menurut Baru, pengunduran Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 1965 telah menyebabkan imbangan kuasa antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak beralih.

Katanya selama bertahun-tahun, bilangan kerusi di Semenanjung Malaysia bertambah secara tidak seimbang dengan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak.

Justeru, katanya terdapat gesaan yang semakin meningkat dari Sabah dan Sarawak untuk memulihkan satu pertiga perwakilan parlimen untuk kedua-dua wilayah itu selaras dengan hasrat penggubal Perjanjian Malaysia bahawa kerajaan Malaya tidak boleh meminda perlembagaan tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak.

“Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dengan kawasan yang luas dan kebanyakan kawasan parlimennya lebih besar daripada banyak negeri di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai contoh, kerusi saya sendiri (Parlimen Selangau) ialah hampir sama besar dengan negeri Pahang, yang sesetengah kawasan hanya boleh diakses melalui trek hutan dan jalan balak.

“Maka pertambahan wakil dari kawasan seperti itu di Parlimen pasti akan menjadi petanda baik untuk konstituensi dan untuk integrasi nasional,” katanya.

Suara Sarawak