KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencekik leher, mengugut membunuh dan membaling topi keledar ke arah bapa kandungnya.

Tanaka Sennie, 27, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapanya berusia 52 tahun.

Bagi kesalahan tersebut, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap mangsa.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda bagi kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana merosakkan harta milik mangsa iaitu seunit topi keledar, sebuah motosikal dan tombol pintu bilik hingga menyebabkan kerugian RM350.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukannya di kediaman mereka di Taman Desa Wira, Jalan Batu Kawa, sekitar jam 6.30 petang, 17 Februari lepas.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Menurut fakta kes, semasa berada di rumah, mangsa telah bertanya kepada tertuduh mengapa dia menjual katil besi miliknya.

Tertuduh yang enggan ditanya oleh bapanya lalu mengamuk dan bertindak membaling topi keledar ke arahnya hingga menyebabkan kecederaan pada kening sebelah kiri.

Selain itu, tertuduh juga bertindak agresif dengan mencekik leher bapanya serta menolak badan dengan kuat ke arah dinding rumah sehingga menyebabkan kecederaan bahagian leher dan belakang badan.

Semasa kejadian, tertuduh juga bertindak merosakkan pintu rumah dan memukul motosikal menggunakan parang bengkok serta mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh bapanya dan membakar rumah.

Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan anaknya yang sering bertindak agresif kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak