Sub stesen Tondong 500/275/132kV

KUCHING: Pembinaan pencawang yang bakal menjadi pembekal transmisi 500/275/132 Kilovolt (kV) utama di kawasan Tondong dijangka bermula bulan ini.

Syarikat Utiliti Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dalam kenyataan hari ini berkata, talian transmisi bernilai RM146 juta tersebut mampu menghantar tenaga elektrik dari loji janakuasa utama Sarawak dengan menjangkau jarak 516 kilometer (km).

“Pencawang Tondong akan membantu mengukuhkan sistem bekalan elektrik serta menghubungkan 500kV baharu ke grid negeri sedia ada iaitu 275kV melalui Mambong-Matang.

“Ia juga sebagai memenuhi permintaan elektrik tempatan yang semakin meningkat di kawasan berkembang pesat serta menampung pertumbuhan kapasiti masa hadapan terhadap pencawang Tondong,” kata kenyataan tersebut.

275kV Switchyard

Susulan operasi pelancaran terbabit jelasnya, dua talian grid elektrik dari Mambong-Matang akan ditutup secara berjadual bagi memastikan kerja-kerja penyambungan berjalan lancar.

Katanya, fasa kedua dan terakhir kerja-kerja talian perhubungan dari Mambong ke Matang akan berlangsung dari 21 Februari hingga 4 Mac ini tertakluk kepada keadaan cuaca.

Sementara itu tambahnya, kerja-kerja pembinaan bagaimanapun tidak akan menjejaskan bekalan elektrik di seluruh kawasan Sarawak.

“Persiapan sedang dilakukan untuk memastikan kerja-kerja pemasangan siap secepat mungkin namun sekiranya cuaca buruk, kerja-kerja mungkin terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan, “jelasnya.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak energy di talian 1300-88-3111 atau menerusi aplikasi SEBcares untuk mendapatkan info terkini mengenai kerja-kerja penyambung atau melaporkan gangguan elektrik bagi membantu pemulihan elektrik secara pantas.

Suara Sarawak