SIMUNJAN: Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bakal berlangsung di Kuching minggu hadapan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut penting kerana mereka tidak mahu penonton yang hadir dalam program tersebut terjejas.

“Saya faham orang ramai takut, saya pun takut. Tetapi kita melaksanakan program ini dengan pematuhan SOP yang ketat untuk pengunjung serta semua pihak yang terlibat,” katanya.

Nancy pada sidang media selepas membuat tinjauan ke PKJM di Tapak Letak Kereta Dewan Mesra Simunjan, hari ini. (F: RAMIDI)

Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian pada sidang media selepas melawat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Tapak Letak Kereta Dewan Mesra Simunjan, di sini, hari ini.

Tambah Nancy, pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah merangka SOP yang ketat antaranya menambah bilangan kanopi daripada satu kepada tujuh buah.

“Setiap kanopi akan memuatkan 350 orang dan setiap pergerakan keluar masuk ke kanopi itu akan dikawal oleh penguat kuasa bagi mematuhi pengehadan bilangan pengunjung yang hadir,” tegasnya.

Program bertemakan Temasya Kepelbagaian Budaya yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 Februari itu akan membawakan kemeriahan fiesta warna-warni dengan kepelbagaian program dan aktiviti pelancongan budaya Malaysia. Dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Suara Sarawak