Pengurus gudang ditahan simpan baja sawit
Antara barangan yang dirampas dalam sebuah sebuah gudang di Jalan Balingian Mukah.

MUKAH: Tindakan seorang lelaki menyimpan baja sawit tanpa permit di dalam gudang membawa padah apabila kegiatan itu terbongkar dalam satu pemeriksaan Polis di Jalan Mukah-Balingian, hari ini.

Susulan itu suspek yang juga pengurus gudang berkenaan berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alia berkata, pemeriksaan dilakukan oleh dua anggota MPV, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) kira-kira 10.15 pagi.

Hasil pemeriksaan katanya, lelaki terbabit  gagal mengemukakan sebarang bukti dokumen kebenaran memiliki, menyimpan barang kawalan tanpa permit, lesen dan  kebenaraan khas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Berikutan itu, sebanyak 10,000 guni baja sawit pelbagai jenis (Boiler ASH, MOP, Compound P dan Oxytertile) yang bernilai RM297,000 dirampas.

“Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (KPDNHEP) menyimpan dan memiliki barang kawalan berjadual tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak KPDNHEP Cawangan Mukah.

Suara Sarawak