KUCHING: Pengurusan Pusat Khidmat Wakil Rakyat perlu ditambah baik bagi memastikan setiap projek pembangunan di kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mengalami kelewatan.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini penting bagi memastikan tatacara pengurusan yang sistematik selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam projek berkenaan.

“Untuk itu, perlu ada Pengurus Pusat Khidmat yang berkaliber dalam menguruskan kewangan agar pengurusan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak menghadapi masalah atau mengalami kelewatan.

“Kalau dapat diuruskan dengan baik, ia dapat memenuhi janji kepada rakyat. Rekod (kewangan) juga perlu diuruskan dengan baik agar selaras dengan audit Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Khas untuk ADUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Hui Kian serta Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri Azmi Bujang.

Abang Johari berkata tahun ini, sejumlah RM242.5 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Projek Khas bagi semua ADUN GPS.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki dilantik sebagai Whip GPS.

— BERNAMA

Suara Sarawak