MUKAH: Seorang peniaga berdepan tindakan makhkamah apabila didapati tidak mempunyai lesen sah untuk menjual barangan lusuh.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan barang lusuh di Jalan Ulu Bukut Ulu Balingian di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata pemeriksaan dilakukan dalam Op Lusuh oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Mukah sekitar jam 12.43 tengah hari tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah beroperasi tanpa memiliki lesen di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta 189) yang sah.

“Susulan itu, kita mengambil beberapa keping gambar premis sebagai bahan bukti namun tiada barang-barang lain yang dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Rizal menjelaskan tujuan laporan dibuat adalah untuk tindakan saman di mahkamah.

Pada masa sama katanya, suspek yang berusia 60 tahun itu turut dipanggil ke IPD Mukah untuk dirakam percakapan.

“Kes ini masih dalam siasatan. Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dihukum di bawah Seksyen 9 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara maksimum setahun,” ujarnya.


Polis melakukan pemeriksaan ke atas premis barangan lusuh di Jalan Ulu Bukut Balingian.

Suara Sarawak