Penyelia akhbar rugi RM7,150 diperdaya skim pelaburan

KUCHING: Seorang penyelia akhbar berusia 52 tahun kerugian RM7,150 selepas diperdaya tawaran skim pelaburan di media sosial Facebook yang menjanjikan pulangan wang berjumlah RM29,000 dalam tempoh dua hari.

Menurut mangsa, dia telah menerima panggilan melalui aplikasi Whatapps bernama Ahmad Razman Abd Raza dengan nombor telefon 017-2639486 yang menyuruhnya membayar sebanyak RM3,000 untuk bayaran akhir bagi skim pelaburan di bawah ‘Madinah Mining’ pada 19 Februari lepas.

Sebelum itu, pada 6 Februari lalu, dia juga telah memasukkan wang ke dalam akaun Maybank atas nama Arman Yadi Ahmad berjumlah RM500.

Dia juga telah memasukkan dua kali ke akaun Bank Agro bernombor 200503100013XXXX atas nama Mohd Tarmizi Dahari pada 7 Februari lepas, dengan jumlah keseluruhan RM4,300.

Selang sehari selepas pembayaran dibuat, dia sekali lagi membuat pembayaran sebanyak RM2,350 ke dalam akaun bernombor 012004100003XXXX atas nama Muhdammad Norsyarin Afiq Afizad Mohd Yusoff.

Jumlah keseluruhan yang telah dimasukkan oleh mangsa ialah RM7,150 melalui pemindahan secara dalam talian.

Semasa suspek meminta bayaran akhir skim terbabit, mangsa telah diugut oleh suspek untuk mengambil tindakan tegas sekiranya tidak membuat pembayaran akhir berjumlah RM3,000.

Mangsa menyedari diri telah ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Gita untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Terdahulu, mangsa tertarik dengan satu iklan skim pelaburan dalam media sosial facebook yang bernama ‘Datuk Seri Mahdi’ yang terkenal sebagai ahli perniagaan pelaburan.

Skim tersebut menjanjikan akan mendapat RM29,000 dalam tempoh dua hari hingga menyebabkan dia terpedaya.

Suara Sarawak