KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020 sejak awal pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang terjejas teruk.

Ia mengakibatkan seluruh rakyat terkesan khususnya dalam aspek kewangan bagi menyara kehidupan.

Namun, berbeza dengan sesetengah orang yang merebut peluang tersebut untuk memulakan perniagaan kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Demikian yang dilakukan oleh seorang suri rumah, Ayu Saiena Azlan, 26, yang memulakan perniagaan kek ketika bermulanya PKP yang pertama.

“Saya mula berniaga kek pada 2020 iaitu semasa PKP pertama kali dilaksanakan.

 

“Pada masa itu, saya banyak meluangkan masa bersama-sama keluarga memandangkan mereka tidak boleh berkerja,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Ayu berkata, selain kek bagi untuk sambutan hari lahir, dia juga menjual kek bento yang bersaiz kecil, kek keju, tart keju, kek cawan, dan brownies.

Harga kek yang dijualnya adalah bermula dari serendah RM12 dan ke atas iaitu bergantung kepada saiz dan hiasan kek.

Ditanya mengenai idea untuk menjual kek dengan pelbagai saiz dan hiasan, Ayu mendedahkan, ia bermula daripada permintaan anaknya.

“Dulu, anak saya, Azfar teringin makan kek bagi sambutan hari lahirnya. Dari situ, saya pun cuba untuk memenuhi permintaannya.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka dengan memenuhi permintaan anak, ramai rakan ingin merasai kek hasil tangan saya,” katanya.

Tambahnya, bermula daripada permintaan tersebut, dia mula menjual kek bagi sambutan hari lahir di sekitar kawasan kampung dan juga di media sosialnya.

“Setakat ini saya hanya menjual kek menerusi media sosial dan semuanya dilakukan di rumah.

Namun, saya juga menyediakan penghantaran bagi yang ingin membeli di luar kawasan kampung,” ujarnya.

Katanya lagi, Azfar Cake House iaitu nama yang diambil sempena nama anaknya itu, setakat ini mendapat sambutan yang positif daripada pelanggannya.

Justeru, Ayu menzahirkan kesyukurannya atas dorongan dan sokongan yang telah diberikan oleh orang di sekelilingnya.

“Alhamdulillah, terima kasih terutama kepada pelanggan yang banyak memberi sokongan lebih-lebih lagi pada sambutan tertentu misalnya Hari Bapa, Hari Ibu, sambutan hari lahir dan majlis perkahwinan.

“Bukan sahaja bagi menyambut hari tertentu, malah kek saya juga boleh didapatkan pada hari-hari biasa contohnya bagi yang ingin menggembirakan hati ahli keluarga, sahabat, pasangan dan saudara-mara,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai inspirasi yang mendorongnya bertahan dengan perniagaan kek sehingga kini, katanya ia bertujuan membantu keluarganya.

“Saya seorang suri rumah sepenuh masa, jadi dengan adanya perniagaan kek ini, saya dapat mengisi masa lapang sekali gus membantu keluarga saya dari segi kewangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayu mengatakan bahawa dia akan menambah lebih banyak produk jualannya dan berharap perniagaan keknya semakin dikenali ramai.

Ujarnya, dengan demikian, ia diharapkan sedikit sebanyak dapat menggembirakan lagi hati orang di sekeliling terutamanya para pelanggan.

Bagi yang ingin menempah, boleh hubungi Ayu di talian 017- 8091806 atau menerusi Facebook Ayu Saiena Azlan dan Instagram Azfarcakehouse.

Suara Sarawak