LIDAM dan Edwin menunjukkan produk makanan yang dihasilkan oleh ahli PPK yang dipamerkan sempena mesyuarat tersebut.

SONG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) digesa supaya meningkatkan fungsinya untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Adun Katibas, Lidam Assan berkata PPK adalah pemangkin pembangunan pertanian kawasan dan agensi terbaik untuk warga pertanian, petani dan peladang sebagai pelantar pemasaran hasil mereka.

“Bagi memperkasakan fungsi PPK, setiap aktivitinya hendaklah dihasilkan dengan pulangan pelaburan supaya kita dapat hasil yang terbaik untuk ahli.

“Setiap ahlinya juga perlu menyumbang kepada pembangunan produk atas nama atau jenama PPK, yang bermaksud satu ahli satu usaha atau jenama,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan PPK Daerah Song.

Lidam mengatakan PPK harus memainkan peranan menyumbang dan menampung keperluan negara serta menangani isu keselamatan makanan sekurang-kurangnya di kawasan masing-masing.

Menurutnya lagi, PPK perlu mewujudkan gelanggang sendiri kerana adanya pembekal dan permintaan pasaran daripada ahlinya sendiri.

“Perlu adanya ahli yang berkaliber untuk memimpin membawa PPK lebih jauh ke hadapan.

Semua aktiviti yang dilakukan atas nama PPK perlu berlandaskan Integriti yang tiada tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata pertanian adalah satu perniagaan khususnya pertanian moden yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada para petani.

Sehubungan itu, Lidam mencadangkan kepada PPK Daerah Song agar mewujudkan kedai “Run It PPK” yang menjual keperluan dan produk perladangan tempatan bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Sebagai permulaannya, Lidam menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi mewujudkan Tamu Peladang di Daerah Song untuk memasarkan hasil pertanian tempatan.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah (Manred) Datuk Edwin Abit, Pegawai Pertanian Bahagian Kapitk Aicher Joseph Toyat, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Song, Paing Inyok dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Daerah Song, Francky Muling.

Suara Sarawak