Pesara tentera ditemui lemas
Pasukan SAR membantu mengangkat mayat mangsa.

 BETONG: Pesara tentera yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Skrang di sini, dijumpai lemas oleh pasukan pencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Komander Operasi Henry Jugah berkata, mayat Baki Nyambong, 49 ditemui di kawasan Daru iaitu hilir sungai kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa jatuh oleh penduduk kampung yang menyertai operasi pada jam 8.39 pagi.

Operasi SAR yang mengesan mangsa dilakukan sejak Jumaat namun terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat.

“Bagaimanapun, operasi yang turut disertai Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung diteruskan semula hari ini sebelum berakhir dengan penemuan mayat mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Sri Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa berusia 49 tahun itu memancing bersama abangnya.

Kejadian berlaku kira-kira satu kilometer dari pangkalan jeti rumah panjang mereka.

Difahamkan kejadian berlaku selepas perahu yang dinaiki oleh mangsa dan abangnya terlanggar kayu di tengah-tengah sungai.

Akibat pelanggaran itu perahu mereka bergoncang kuat menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Berikutan itu, abangnya cuba menyelamat dan melakukan pencarian namun gagal sebelum bergegas memberitahu penduduk kampung untuk mendapat pertolongan.

Suara Sarawak