Petani didakwa terlibat rompakan berkumpulan
Tertuduh dibawa anggota polis dari mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan terlibat dengan rompakan berkumpulan.

Tertuduh Kiew Ming San, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Maris Agan atas pertuduhan tersebut menggunakan senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Al Ikbal Arfan, 21.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merompak sebuah telefon pintar, seutas kunci rumah, sebuah pengecas mudah alih bank dan sebuah motosikal milik mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Taman Suria Jaya, Matang, di sini, sekitar jam 8.30 malam, 2 Disember 2021.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh direman lanjut dan menasihatkannya melantik peguam sebelum sebutan semula bagi pengurusan kes pada 3 Mac depan.

Suara Sarawak