KUCHING: Sabah dan Sarawak kini secara rasmi diiktiraf sebagai rakan kongsi Semenanjung Malaysia dengan pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, ia selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pewartaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berdasarkan seksyen 1(2) Akta A1642 yang berkuat kuasa, hari ini.

Menyifatkan ia sebagai hari bersejarah untuk Sarawak, Wan Junaidi berkata akta tersebut merangkumi pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.

“Akta ini adalah adalah amat signifikan dan merupakan satu khabar gembira yang ditunggu-tunggu oleh rakyat bagi menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara yang tersurat dan tersirat dalam MA63,” katanya.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata demikian pada sidang media Pemakluman Tarikh Kuat Kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 di sini, hari ini.

‘Manakala pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan adalah memperuntukkan bahawa ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri,” tambahnya.

Jelasnya, dengan mengiktiraf MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan setaraf Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua perkara secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak.

Suara Sarawak