KUCHING: Orang ramai menyambut baik pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan mengakui ia membantu meringankan bebanan kos sara hidup dalam situasi sukar ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, program tersebut menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.

Stanley melawat pelaksanaan PJKM di pasar raya Mydin Bandar Baru Samariang, di Kuching, hari ini.

“Sejak dilancarkan pada 2 Disember lalu, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengguna dan peniaga di seluruh negeri ini yang meliputi lebih 46 lokasi.

“Setakat ini sudah menerima seramai 53,415 orang pengunjung dengan jumlah jualan mencecah RM832,934.54,” katanya selepas melawat pelaksanaan PJKM di pasar raya Mydin Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain Mydin, PJKM turut diadakan serentak di Parlimen Serian, Kota Samarahan dan Sibuti selain sudah meliputi kawasan Kuching, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah, Belaga, Bintulu, Miri, Limbang, Kabong, Kapit, Santubong, Samarahan, Serian, Sibuti serta Lawas.

“PJKM menawarkan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih yang lain,” ujarnya.

PJKM dilancarkan bertujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dengan harga barang ditawarkan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Suara Sarawak