KUCHING: Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 yang antara lain bertujuan menamakan semula jawatan Ketua Menteri sebagai ‘Premier’ adalah untuk meletakkan Sarawak dalam perspektif yang betul dalam perjalanan menuntut semula hak sebagai rakan kongsi yang sama rata dalam pembentukan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang akan membentangkan rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, berkata ia juga bagi membolehkan Sarawak mengendalikan lebih banyak autonominya.

“Kami hanya memperhalusi apa yang sepatutnya apabila kita membentuk Malaysia.

“Semasa pembentukan itu, terdapat lima penandatangan iaitu United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak tetapi selepas Malaysia dibentuk, dua entiti terakhir iaitu Sabah dan Sarawak nampaknya sudah cair dan menjadi seperti mana-mana negeri kecil yang berada dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemu-bual selepas hari pertama persidangan DUN di Kompleks DUN di sini, hari ini.

“Jadi sebab itu kita kena letak perkara berkenaan dalam perspektif yang betul,” katanya ketika ditemu-bual selepas hari pertama persidangan DUN di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Adun Asajaya itu turut menegaskan tidak mahu menjadikan kedudukan Sarawak terus kekal setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Dengan menggunakan jawatan Ketua Menteri, saya rasa kita tidak mahu setaraf dengan Pulau Pinang atau Melaka.

“Apabila kita membentuk Malaysia, penandatangan bagi negeri-negeri Melayu bersekutu dan tidak bersekutu, hanya satu yang mewakili mereka tetapi apabila Malaysia ditubuhkan, keadaan berubah…jadi jangan beritahu saya kita sepatutnya ok kerana berada pada tahap yang sama,” katanya.

Namun, beliau berkata walaupun jawatan Ketua Menteri dinamakan semula sebagai ‘Premier’, tidak ada perubahan ketara dalam peranannya.

Suara Sarawak