KUCHING: Penganjuran Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 telah berjaya membantu 53 usahawan kraftangan apabila mengumpul nilai jualan sebanyak RM162,000 sejak hari pertama penganjuran program tersebut.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri percaya bahawa sasaran sebanyak RM200,000 pasti dapat dicapai pada hari penutupan program tersebut.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri ketika sidang media berlangsung.

“Jumlah terkumpul ini hanya berdasarkan jualan kraftangan sepanjang program berlangsung dan ini jelas menampakkan manfaat yang diperoleh oleh pembuat kraf.

“Tindak balas yang diberikan juga sangat memberangsangkan dan akan memberi semangat padu kepada pembuat kraftangan untuk menghasilkan produk lebih banyak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat ‘walkabout’ ke Pameran Jabatan dan Agensi serta lawatan Bazar Makanan Citrawarna di Waterfront Kuching, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nancy turut mendedahkan program tersebut berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai apabila ia melebihi sasaran.

Katanya, seramai 50,000 pengunjung yang datang melibatkan orang tempatan serta pendatang dari luar Sarawak.

Suara Sarawak