SEBANYAK 23 khemah didirikan sempena program berkhemah di Iftitah Beach Resort, Belawai.

BELAWAI: Sebanyak 23 khemah didirikan sempena program Belawai Beach CampFly anjuran Kelab Gudi Sarikei (Kegusa) dan Sarawak Trek dan Hike (STH) di Iftitah Beach Resort, Belawai.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata walaupun program itu julung kali diadakan namun program itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Pada mulanya, ia terhad untuk ahli sahaja namun sejak dimulakan semalam, sebanyak 23 buah khemah didirikan.

“Antara yang menarik perhatian ramai ialah pertunjukkan wau atau layang-layang di sepanjang Pantai Belawai,” katanya yang juga Adun Kuala Rajang.

Beliau berharap, aktiviti seumpama ini akan terus mendapat sambutan dan penyertaan lebih ramai pada masa yang akan datang bagi mempromosi Pantai Belawai sebagai tempat pelancongan bagi Zon Tengah Sarawak.
Sementara, Naib Pengerusi dan ketua rombongan STH, Abang Zakaria Abang Mohd Arif berkata program ini membantu memperkenalkan Pantai Belawai dan menarik lebih ramai kedatangan pelancong.

Di samping itu katanya, pelancong turut berpeluang menikmati pelbagai produk tempatan seperti sesar unjur, ikan salai dan Songket Rajang yang cukup terkenal dan sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Sehubungan itu katanya, bagi perancangan masa depan, lebih banyak aktiviti sebegini dilaksanakan seperti Pesta Pantai dan Pertandingan Memancing.

Suara Sarawak