RANGKA… badan mayat dijumpai di dalam salah satu bilik dalam bangunan rumah kedai tersebut

PADAWAN: Satu rangka manusia ditemui di sebuah di rumah kedai di Malehah Central, Jalan Matang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa dikenali pasti sebagai pemuda berumur 28 yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu berdasarkan penemuan kad pengenalan dan telefon bimbit.

“Rangka lelaki tersebut ditemui kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorang pekerja semasa membuat kerja penyelenggaraan di bangunan tersebut.

“Pekerja terbabit bertindak memecahkan pintu kerana ia berkunci dari dalam bagi tujuan penyelenggaraan bangunan rumah kedai itu lalu menemukan rangka badan manusia tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mangsa dianggarkan telah meninggal dunia dua minggu lalu oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian.

“Barang kepunyaan mangsa turut dijumpai di tempat kejadian seperti kad pengenalan, telefon bimbit, wang tunai, beg dan pakaian,” ujarnya.

Jelasnya, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada 15 November 2021 mengenai kehilangan mangsa.

“Menurut ibu mangsa, mangsa tidak berminat untuk tinggal bersama keluarga serta ingin berdikari dan mencari pekerjaan sendiri.

“Tiada perselisihan faham antara mangsa dengan ahli keluarga,” katanya.

Tambahnya, rangka mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

KOSONG… bilik dipercayai tempat si mati tinggal

Suara Sarawak