MUKAH: Rehat dan tidur yang mencukupi adalah antara rahsia kejayaan penerima Anugerah Tokoh Tom Bazeley 2021 Sekolah Menangah Kebangsan Three Rivers Mukah, Gwen Kimberly James.

Katanya, rehat yang cukup banyak mempengaruhi prestasinya untuk kekal fokus di dalam kelas, belajar dengan tenang dan sentiasa segar untuk menerima ilmu baharu.

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini turut berkongsi bahawa perkara utama dalam aspek belajar yang perlu diberi perhatian ialah sikap fokus di dalam kelas.

“Ia penting untuk memahami setiap subjek yang diajar.

Biasanya saya selalu fokus dalam kelas. Saya mesti fahami apa-apa yang diajar oleh guru.

Dari situ saya tahu segala fakta yang diajar.

“Kalau tidak faham atau keliru, saya akan bertanya dengan rakan dan guru.

Paling penting kalau ada rakan bertanyakan soalan yang tidak difahami, saya akan cuba terangkan sebaik-baiknya sehingga saya rasa ia mampu menguatkan kefahaman saya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, kefahaman ialah kata kunci terbaik untuk cemerlang dalam akademik.

“Sekiranya sesorang itu tidak faham subjek yang diajar, ia akan mempengaruhi keseluruhannya.

“Saya sama juga seperti pelajar lain, ada masa belajar ada masa bermain. Saya akan susun masa untuk belajar, bermain dan sebagainya dengan sebaik-baiknya.

“Apa-apa pun saya terharu apabila diberi anugerah ini dan saya tidak menyangka segala usaha saya dihargai. Paling penting saya bersyukur dengan anugerah yang sangat bermakna ini,” ujarnya lagi.

Gwen diraikan bersama-sama rakan lain dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tingkatan 5 Tahun 2021 SMK Three Rivers Mukah di Dewan Tom Bazely di sini.

Menghadapi SPM, Gwen secara keseluruhannya bersedia hampir 80 peratus, tetapi dia tetap bertekad untuk terus berusaha sampai ke garisan penamat.

“Bagi saya anugerah ini ialah satu penghargaan yang sangat bermakna kepada saya atas pencapaian cemerlang serta usaha saya dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah selama ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa saya James Anthony dan Winnie Tira yang mendidik saya sejak kecil lagi dan sentiasa menyokong saya dan kepada adik-beradik dan keluarga saya.

Terima kasih atas sokongan anda.

“Kepada semua guru yang pernah mengajar saya dari prsekolah hingga sekolah menengah… terima kasih.

“Kepada rakan saya yang bakal menduduki SPM, selamat maju jaya saya ucapkan. Saya yakin kita semua boleh buat dengan sehabis baik,” katanya lagi.

GWEN Kimberly berkongsi kejayaannya bersama-sama ibu, ayah dan adik-beradiknya pada hari terakhir persekolahan sesi 2021.

Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers Mukah Silvester Alan William turut mendoakan semua calon SPM dapat menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mencapai impian dalam bidang akademik dan kerjaya.

“Di sini, saya ingin memetik kata-kata Bob Budler (1992) dalam bukunya bertajuk “You Can Do It!” yang menyatakan kejayaan itu tiada ternilai harganya.

“Seseorang itu perlu bersedia mengorbankan tenaga, berdedikasi dan berusaha dengan gigih sebagai bayaran ke arah menempah kejayaan iaitu ganjaran yang ingin dicapainya.

“Dalam erti kata lain, tiada kejayaan tanpa usaha.

“Tiada siapa yang dapat membantu kita selagi kita tidak mahu bergerak untuk membantu diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Anugerah Tokoh Tom Bazeley diwujudkan untuk menghargai pelajar cemerlang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Anugerah ini diharapkan menjadi perangsang kepada pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pendidikan dan kokurikulum.

Sejajar dengan pemilihan Gwen Kimberly sebagai penerima anugerah kali ini, Gwen terbukti telah mencapai keputusan cemerlang dalam SPM percubaan yang lalu, selain pernah memegang beberapa jawatan dalam kelab dan persatuan termasuk mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.

Suara Sarawak