DITAHAN… Remaja 18 tahun ditahan kerana terlibat dengan aktiviti peyalahgunaan dadah di rumahnya di Kampung Penakub Hilir Mukah.

MUKAH: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan polis di rumahnya di Kampung Penakub Hilir Mukah semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, suspek yang merupakan seorang penganggur itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.

“Hasil pemeriksaan, anggota merampas satu kotak rokok berwarna putih mengandungi satu keratan straw kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan kasar 0.14 gram (nilai anggaran RM50) di dalam genggaman tangan kanan suspek.

“Kesemua barang tersebut dirampas dan suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan ujian saringan awal air kencing, suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Difahamkan suspek mendapat bekalan dadah dengan cara serahan tangan di sekitar kawasan pasar Mukah.

“Bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan dipercayai terlibat dengan penagihan dadah sejak awal tahun 2021 hingga sekarang,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Suara Sarawak