BERCAKAP…Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi (tengah) bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat JBALB, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengekalkan subsidi bernilai RM150 juta setahun kepada pengguna di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih dan terawat setimpal dengan pengguna di kawasan lain.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, penduduk luar bandar hanya dikenakan cas sebanyak 0.44 sen permeter padu, sekaligus menjadikan Kerajaan Sarawak menanggung pembayaran penggunaan air berjumlah RM400,000 sehari.

Menurutnya, pada tahun 2020 kos pengeluaran air permeter padu adalah RM1.28 manakala pada tahun 2021 adalah RM1.58 permeter padu.

“Untuk kawasan luar bandar kos pengeluaran air permeter padu lebih tinggi daripada harga jualan air yang kita cajkan kepada pengguna.

“Secara puratanya Kerajaan Sarawak memberi subsidi begitu banyak kepada pengguna air di seluruh Sarawak, dianggarkan RM150 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat JBALB Kuching di sini, hari ini.

Tambahnya, setakat ini tiada cadangan untuk menaikkan caj air tersebut malah Kerajaan Sarawak menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) masih lagi tetap memberikan diskaun kepada pengguna.

Sementara, Julaihi berkata antara cabaran terbaharu yang dihadapi pihaknya setakat ini adalah kekurangan tenaga kerja untuk menyiapkan projek mengikut tempoh yang dijadualkan.

Bagaimanapun katanya, projek tetap berjalan misalnya di Wilayah Selatan yang mana kerja-kerja lapangan tetap berjalan walaupun kontraktor menghadapi masalah kekurangan pekerja.

“Apa yang penting ia terus berjalan. Selain itu, tangki air tingkat tinggi di bahagian Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya dan Simunjan masih berjalan.

“Ada di antaranya hampir siap dan ada yang masih dalam proses pembinaan,” katanya.

Ujarnya, JBALB telah membuat perancangan jangka panjang dalam usaha memastikan bekalan air pada Sistem Grid Air Wilayah Selatan mendapat bekalan air bersih mencukupi.

Suara Sarawak