Sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pihak Centexs dan Hornbill Networks Consortium di Lobi Smart Urban Farming, Centexs, di sini, semalam

KUCHING: Pembinaan rumah-rumah baharu di Sarawak akan dilengkapi dengan Sistem Peranti Rumah Pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Hornbill Network Consortium Sdn Bhd Hanizam Hashim berkata, pemasangan sistem tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di kawasan Kuching kemudian diperluaskan ke seluruh Sarawak selaras dengan impian menjadikan negeri ini maju menjelang tahun 2030.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 90 unit rumah di perumahan Samariang Avenue, Petrajaya bakal menikmati konsep teknologi digital pintar untuk kemudahan masyarakat setempat.

“Manakala, pemasangan bagi 562 unit rumah yang selebihnya akan dipasang pada fasa kedua dan seterusnya menggunakan sistem yang sama iaitu arahan suara (voice command) untuk berinteraksi secara verbal dengan peranti yang mempunyai sambungan internet,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Centre of Technical Excellence Sarawak (Centexs) Commercial dan Hornbill Networks Consortium di Lobi Smart Urban Farming, Centexs, di sini, hari ini.

Tambahnya, pemasangan peranti itu akan dipasang semasa kerja pembinaan rumah agar pembeli dapat terus menggunakan teknologi tersebut apabila sudah pindah ke rumah pintar yang dibina.

Katanya lagi, pembinaan rumah pintar ini juga diharap dapat disiapkan menjelang tahun 2025 bagi kawasan Kuching dan akan meliputi penuh negeri Sarawak pada 2030 agar semua rakyat dapat menikmati penggunaannya.

Pengerusi Centexs Commercial Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Centexs Commercial Shahren Yusri turut hadir.

Suara Sarawak