RUU Perbekalan Tambahan 2021 diluluskan DUN Sarawak

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 selepas ia dibaca kali ketiga oleh Menteri Kewangan Kedua dan Ekonomi Baru, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

RUU Perbekalan Tambahan sebanyak RM478,843,946 itu adalah bagi menampung perbelanjaan tambahan beberapa kementerian dan jabatan yang tidak diperuntukkan dana atau tidak mencukupi dalam anggaran 2021.

RUU itu disokong oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Selain itu ketika membentang RUU tersebut bagi bacaan kali kedua, Uggah memberitahu perbelanjaan tambahan sebanyak RM81,608,762 juga diperuntukkan untuk melaksanakan program dan projek pembangunan pada 2021 oleh pelbagai kementerian dan jabatan.

“Terdapat 47 sub aktiviti dan 68 sub-sub aktiviti yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM81,608,762.

“Jumlah yang diperlukan ini telah diperoleh daripada simpanan dalam kalangan subtajuk berkenaan atau pendahuluan daripada Rizab Luar Jangka,” katanya ketika membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022 pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Sementara itu, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, tiada perbahasan untuk RUU Perbekalan Tambahan itu selaras dengan Peraturan Tetap 67 (4) dan 67 (7) DUN Sarawak.

Suara Sarawak