PASUKAN SAR yang berada di kapal tempat mangsa terjatuh.

LINGGA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja kapal warganegara Myanmar yang meliputi radius 20 kilometer hari ini masih negatif tanpa sebarang penemuan.

Pegawai Pertahanan Awam Sri Aman Kapten Siti Huzaimah Ibrahim memberitahu, operasi SAR akan disambung esok.

“Pencarian bermula di Jeti Lingga menghala ke hulu Sungai Lingga, iaitu lokasi Thein Wai Maung, 35, disyaki jatuh pada Isnin lalu.

“Kemudian diteruskan dari Kapal Ketara Sepuluh menghala ke hilir (Pendam Batu) dan seterusnya ke Banting.

“Biarpun radius pencarian meliputi keluasan 20 kilometer, namun masih negatif,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Hasil maklumat rakan sekerja mangsa jelas Huzaimah, mangsa terjatuh ketika sedang mengepam minyak.

“Wai Maung kira-kira 10.50 pagi Isnin sedang mengepam minyak gris pada mesin hidrolik, namun hos yang digunakan terlekat lalu menariknya sehingga menyebabkan tergelincir jatuh ke dalam sungai,” ujarnya.

Mangsa seorang pekerja Kapal Ketara Sepuluh yang menggunakan kasut keselamatan, berbaju lengan panjang warna hijau dan menggunakan seluar panjang disyaki dihanyutkan arus deras.

USAHA mendapatkan maklumat lanjut daripada pekerja kapal yang lain.

Suara Sarawak