BERUCAP… Abang Johari berucap sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak akan mengalami transformasi yang luar biasa pada tahun-tahun yang akan datang sehingga 2030.

Menurutnya, perkara tersebut juga susulan daripada mandat besar yang diberikan oleh rakyat Sarawak termasuk masyarakat Cina semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun lalu.

“Kita bertuah kerana rakyat telah memberikan mandat yang baik kepada kita pada PRN-12 yang lalu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atas kemenangan bergaya mereka.

“SUPP telah menambah bilangan kerusi kemenangan dan ini adalah petunjuk bahawa Sarawak akan ‘mengaum’ seiring dengan tahun harimau,” katanya semasa berucap sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya Kerajaan Sarawak ingin membawa perubahan kepada negeri ini iaitu untuk menjadi termaju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Walaupun ia matlamat yang tinggi, tetapi dengan sumber yang ada dan pembangunan rakyat, kita akan mampu mencapainya,” ujar beliau.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari juga  berterima kasih kepada komuniti perniagaan Cina kerana telah menyumbangkan pandangan mereka kepada Kerajaan Sarawak untuk merangka pelan pemulihan ekonomi.

“Mereka telah memberikan banyak idea yang digunakan untuk menggubal dasar negeri, dengan input yang kita perolehi daripada sektor awam dan swasta – kita akan menuju ke era baharu,” tegasnya.

Menjelas lanjut, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk memanfaatkan ekonomi digital dan hijau.

“Kita akan bekerjasama untuk menggunakan sumber yang ada bagi mengubah ekonomi dan saya percaya kita dapat melakukannya bersama-sama.

“Kepada semua pemimpin Cina, saya berterima kasih atas sokongan anda dan saya berharap masa hadapan Sarawak akan cerah,” ujarnya.

YEE SANG… Abang Johari serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menggaul Yee Sang sempena sambutan Tahun Baharu Cina SUPP yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom,hari ini.

Suara Sarawak