KUCHING: Seramai 272,500 kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun di Sarawak layak menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dilancarkan bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, jumlah tersebut merangkumi 9.6 peratus daripada keseluruhan populasi di Sarawak.

“Hari ini, seramai 30 kanak-kanak yang mempunyai pelbagai komorbid termasuk yang ‘immunocomprised’ dan menjalani tindakan susulan di Hospital Umum Sarawak (HUS) terpilih untuk menerima vaksin Pfizer di bawah pengawasan pakar.

“Pemberian untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbid lain akan diteruskan di hospital kerajaan dan swasta seluruh negeri dengan tarikh vaksinasi akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran PICKids Sarawak di Auditorium CRC HUS, hari ini.

BERCAKAP…Uggah (tengah) bercakap dalam sidang media selepas Pelancaran PICKids Sarawak di HUS

Sementara itu katanya, bermula Sabtu ini, kanak-kanak lain akan menerima vaksin sama ada di sekolah masing-masing atau di pusat pemberian vaksin.

Beliau mengingatkan ibu bapa untuk berhubung dengan pihak sekolah masing-masing bagi mengetahui tarikh janji temu vaksinasi anak-anak mereka.

Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan awam terhadap 40,000 responden oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mendapati 59.7 peratus sangat bersetuju terhadap peluasan vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun.

“59.7 peratus sangat bersetuju, 25.3 peratus tidak pasti dan 15.0 peratus tidak setuju.

“Sebab utama responden ‘tidak setuju’ atau ‘tidak pasti’ adalah risau berkenaan komplikasi, keselamatan vaksin dan mahu memilih jenis vaksin,” ujarnya.

Setakat 2 Feb, Uggah turut mengesahkan peratusan liputan dos penggalak dalam kalangan layak ialah sebanyak 83.8 peratus.

Hadir sama Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Hui Kian.

Suara Sarawak