KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) mempertaruhkan himpunan pemain dari skuad Sukma untuk berentap dalam Kejohanan Tinju Golden Gloves & Remaja Kebangsaan 2022 yang dijadualkan berlangsung di Perlis dari 23 hingga 29 Mei nanti.

Presiden SABA Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, perancangan awal pihaknya untuk menyenaraikan kesemua petinju terbabit bersaing dalam kejohanan selama seminggu itu.

“Ia merupakan pendedahan awal untuk mereka sebelum bersaing dalam kejohanan Sukma sebenar,” ujar Datuk Rahman kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut beliau, pembabitan anak-anak buah Mohammad Helman Morni itu bagi memperbaiki prestasi masing-masing.

Ini kerana katanya, kejohanan itu juga akan disertai ramai petinju handalan dari seluruh negeri yang terlibat dengan Sukma.

“Apa yang diharapkan, petinju kita dapat memanfaat peluang tersebut memperbaiki prestasi masing-masing,” tambah beliau lagi.

Sambil mengakui pihaknya tidak meletak sasaran kepada petinju untuk cuba meraih sebarang pingat di kejohanan itu nanti.

Sebaliknya, memadai bagi mereka memberi aksi terbaik sepanjang saingan dalam setiap kategori yang disertai.

Suara Sarawak