Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berucap selepas menghadiri taklimat khas di Ibu Pejabat SEB, hari ini

KUCHING: Bilangan kontraktor perlu ditambah dalam memastikan projek pembangunan khususnya bekalan elektrik di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan secepat mungkin, tegas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, jumlah kontraktor yang ada di negeri ini tidak mencukupi bagi melaksanakan projek bekalan elektrik lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

“Justeru kerajaan Sarawak komited dalam meningkatkan bilangan individu yang kompeten dalam bidang tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat khas di Ibu Pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB), di sini, hari ini.

Tambahnya, kontraktor mestilah mempunyai ciri-ciri kompeten dan memiliki sijil yang disahkan kerana kerja-kerja penyambungan elektrik mungkin berbeza dengan kerja lain serta memerlukan ilmu yang khusus.

Katanya, setakat ini hanya ada 32 kumpulan kontraktor di seluruh Sarawak.

“Sekiranya bilangan tersebut bertambah, diyakini bahawa kerja melaksanakan projek-projek tersebut dapat dilakukan dengan lebih pantas.

“Oleh itu, pihak kontraktor diharap dapat menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin serta menerima projek luar bandar sekiranya diberikan untuk memastikan kerja dapat dijalankan dengan lancar,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak