KUCHING: Sarawak mensasar menjadi ‘Bateri Asean’ atau kuasa serantau tenaga boleh diperbaharui dengan menjadi pembekal utama elektrik ke tempat lain di rantau Asean, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya melalui sektor tenaga boleh diperbaharui, Sarawak mensasar menjadi kuasa besar Asia Tenggara, dengan menyediakan tenaga kepada setiap wilayah pada harga berpatutan, boleh dipercayai dan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Saya yakin kita boleh mencapai sasaran memandangkan kita mempunyau banyak tenaga hidro dan sumber asli yang boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Townhall Seratus Tahun Sarawak Energy: 100 Tahun Memperkasakan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari melakukan simbolik perasmian majlis Townhall Seratus Tahun Sarawak Energy: 100 Tahun Memperkasakan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.

Menurut Abang Johari, sejak 2016, Sarawak telah mengeksport elektrik ke Kalimantan Barat dan dalam masa terdekat akan memulakan eksport elektrik ke Sabah, sekaligus merealisasikan Grid Borneo dan menjadi Bateri Asean.

Pada masa sama, beliau berkata projek Kalimantan Utara juga menunjukkan perkembangan dengan baik dalam penyediaannya untuk memuktamadkan keputusan pelaburan.

“Apabila projek ini direalisasikan, ia akan menyumbang kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” katanya.

Suara Sarawak