Abang Johari (empat kiri) menyampaikan cek insentif dan trofi kepada Dr. Malvern Abdullah (tiga kanan) pada Majlis Malam Apresiasi, Penglibatan dan Kolaborasi 2022 MYSED di sini, malam tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Kampung Sukan bagi merealisasikan visi menjadikan negeri ini sebagai kuasa sukan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus melahirkan jaguh sukan di peringkat antabangsa pada masa akan datang.

Katanya, kajian bagi perancangan ini sudah dibuat, dengan mencontohi negara New Zealand.

“Ini tidak menelan belanja yang besar kerana Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah telah pergi ke negara New Zealand.

“Walaupun populasi rakyat di New Zealand tidak besar tetapi mereka telah melahirkan jaguh sukan antarabangsa.

“Jadi kalau New Zealand boleh dengan penduduk yang tidak besar, saya percaya Sarawak juga boleh walaupun penduduk tidak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi, Penglibatan dan Kolaborasi 2022 MYSED di sini, malam tadi.

Justeru, Abang Johari berkata akan menyalurkan bantuan untuk mewujudkan Kampung Sukan yang diilhamkan oleh Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu.

“Tetapi latihan hendaklah penuh dengan disiplin dan mempunyai kemudahan-kemudahan yang terkemuka,” katanya lagi.

Dalam majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan insentif kepada dua atlet iaitu Buda Anchah dan Dr Malvern Abdullah yang pernah memenangi acara sukan antarabangsa serta geran kepada 71 persatuan atau pertubuhan belia dan sukan.

Suara Sarawak