Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan simbolik pelancaran Pelan Pelaksanaan dan Tindakan (AIP) bagi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain. Foto : Japen

KUCHING: Sarawak sedang mewujudkan hubungan terus dengan peruncit serantau untuk membina model pembekal secara langsung, bagi membolehkan Sarawak memanfaatkan dua juta hektar potensi tanah pertanian untuk menghasilkan makanan dan produk hiliran pertanian.

Justeru, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak menggalakkan sektor swasta yang mempunyai modal, kepakaran dan teknologi untuk menceburi pengeluaran huluan buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan makanan laut premium untuk dieksport terutamanya ke negara-negara berpendapatan tinggi yang disasarkan.

“Kami tidak akan mengehadkan diri hanya untuk menghasilkan produk segar yang mempunyai jangka hayat terhad.

“Terdapat peluang yang luas untuk kita terokai terutamanya dalam aktiviti pembuatan hiliran pertanian seperti pemprosesan makanan, makanan tambahan, farmaseutikal, kosmetik dan pelbagai produk bioorganik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Pelaksanaan dan Tindakan (AIP) bagi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Suara Sarawak