KUCHING: Penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu dilaksanakan di Sarawak, sekali gus meletakkan negeri ini antara pelopor dunia dalam usaha itu.

Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata ESG penting kerana ia merupakan sistem penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menilai status tadbir urus alam sekitar dan sosial dalam industri dan juga dalam negara.

“Ini akan menjadi kriteria yang sangat penting yang akan digunakan di arena antarabangsa dan ia relevan kepada kebanyakan industri kerana ia akan meletakkan kedudukan industri mengikut penilaian.

“Penilaian ESG ini akan menentukan sama ada pelaburan itu akan diterima atau tidak oleh pelabur dan begitu juga sebaliknya.

“Bahagian paling penting ialah syarikat yang mengabaikan ESG akan dilucutkan kemudahan ekuiti dan pembiayaan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) ke-10 2021/2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Justeru, katanya CMEA boleh menjadi permulaan penilaian untuk Sarawak menuju ke arah ESG.

Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) ke-10 2021/2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Suara Sarawak