KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan mempersiapkan diri bagi menghadapi kemungkinan lonjakan penularan varian Omicron di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, dengan varian baharu Covid-19 muncul setiap hari, orang ramai harus sentiasa bersedia dan menjaga keselamatan diri.

“Kita perlu hidup dengan virus ini dan lebih selamat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam kehidupan seharian,” katanya.

Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata demikian mengulas mengenai lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia dengan 7,234 kes baharu pada Jumaat.

Tambahnya, ketika ini kadar penularan wabak di Sarawak ketinggalan empat hingga lapan minggu di belakang Semenanjung Malaysia dan masih merekodkan dua angka kes baharu.

“Omicron lebih mudah dan cepat berjangkit daripada Delta dan anda mungkin secara tidak sedar menularkan jangkitan kepada mereka yang terdedah di rumah, tempat kerja, komuniti.

“Jangkitan varian ini mungkin ringan tetapi masih berisiko untuk ‘tip over’ kepada warga emas, mereka yang berisiko tinggi dan lemah imun,” ujarnya.

Pada Jumaat, jumlah Covid-19 di Malaysia melonjak dengan ketara apabila mencatatkan 7,234 kes, meningkat dengan mendadak berbanding 5,720 kes pada 3 Februari.

Ini pertama kali jumlah kes melepasi angka 7,000 selepas kali terakhir jumlah itu dicatatkan pada Oktober tahun lalu.

Suara Sarawak