Tiong King Sing semasa sesi perbahasan menyokong RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini. (tangkap layar)

KUCHING: Sebagai rakan kongsi setara, Kerajaan Sarawak digesa untuk menuntut sepenuhnya kuasa autonomi negeri daripada Kerajaan Persekutuan, kata Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurutnya, ia bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan negeri ini termasuk status kerakyatan untuk kanak-kanak yang tidak memilikinya, pendidikan, keselamatan dan kawalan sempadan serta imigresen dan kesihatan awam.

“Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Sarawak kini perlu membuat pindaan berkaitan perkara-perkara tersebut dalam Perlembagaan Negeri.

“Saya berharap pindaan yang akan datang dapat memberi manfaat kukuh dan holistik untuk masa hadapan dan jangka panjang, janganlah dilakukan secara ‘semberono’ yang hanya mendatangkan kerugian kepada negeri ini.

“Biar rakyat mendapatkan faedah sebenarnya. Justeru , saya mencadangkan agar autonomi diberikan kepada Negeri Borneo selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam penerokaan petroleum, pendidikan, penjagaan kesihatan dan cukai serta levi yang akan diberikan kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Tambahnya, mengikut Perkara 121D Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga perlu mempertimbangkan untuk mengkaji semula kenaikan Pemberian Khas kepada negeri ini di bawah Bahagian IV dan kenaikan royalti minyak dari lima peratus kepada 10 peratus seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian V Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil tambahan ini penting untuk pembangunan infrastruktur Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak