Migran..tertuduh (kanan) dibawa pihak berkuasa keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas kesalahan seludup masuk enam warga Indonesia, awal November tahun lalu.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman terhadap Soroso, 42, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah turut memerintahkan tambahan enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 2 November 2021.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membawa masuk tujuh migran di Jalan Tanah Liat, Kampung Raso, kira-kira jam 9 malam, 2 November 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak