KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) telah melantik dua pengarah bebas bukan eksekutif (INED) baharu berkuat kuasa hari ini untuk mengukuhkan komposisi lembaga pengarahnya.

INED yang baru dilantik, Felix Chin Wui Choong dan Ahmad Amryn Abd Malek dilantik sebagai anggota baharu jawatankuasa audit kumpulan serta jawatankuasa pencalonan dan imbuhan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Chin, 54, adalah felo Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah, UK (CIMA) dan Akauntan Pengurusan Global Bertauliah, AS (CGMA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan juruaudit kualiti dalaman bertauliah Det Norske Veritas (DNV).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman progresif dan telah memegang jawatan ketua pegawai kewangan, pengarah kewangan, dan pengawal kewangan dalam pelbagai persekitaran perniagaan, kedua-dua syarikat tempatan dan multinasional. Beliau merupakan pengarah eksekutif Ire-Tex Corporation Bhd sebelum menyertai Malaysia Pacic Corp Bhd.

Beliau ialah penilai global untuk CIMA dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika.

Menyertai Chin ialah bekas pengarah Ire-Tex Corporation Bhd, Ahmad Amryn, 48, yang merupakan graduan undang-undang dari Cardiff University of Wales, UK. Beliau mempunyai pengalaman luas selama lebih 20 tahun dalam pelbagai industri, termasuk telekomunikasi, teknologi maklumat, perladangan, dan pembungkusan.

“Pelantikan dua INED baharu itu akan mengukuhkan komposisi lembaga pengarah dan hala tuju kumpulan terutamanya dalam status Nota Amalan 17 (PN17) semasa kami. Pengalaman luas mereka dalam perakaunan dan undang-undang diperlukan untuk menasihati keseluruhan proses penyusunan PN17,” kata Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Abdul Kadier Sahab. — BERNAMA

Suara Sarawak